
‘Pencarian’
Ke hulu, ke hilir ku berjalan,
mencari hala tujuan,
menongkah arus kehidupan,
mengenal watak dan peranan,
membongkar hakikat penciptaan,
meneroka keindahan,
menimba ilmu dan pengalaman.
Ke hulu, ke hilir ku berkelana,
adakalanya ku terlena,
ada masanya ku terpesona,
tertipu dek suasana,
yang pada hakikatnya hanyalah fatamorgana.
Pencarian ini akan diteruskan,
dengan seribu doa dan harapan,
mendamba ampunan,
dan petunjuk sepanjang jalan,
agar daku tak ketinggalan,
agar daku tak kerugian,
agar kelak di penghujung jalan,
daku bersama muqarrabin dan golongan kanan
Ghazi – Petaling Jaya – 2 April 2009
____________________________________________
Tariqul Iman
Bagi mereka yang berkata;
”Tuhan itu hanya sebuah fiksi
Dunia ini jadi dengan sendiri
Alam ini azali dan abadi
Apa yang ada hanya sintesis
dari dailektika materi.”
Tidakkah mereka terfikir, jika;
Untaian mutiara di leher
kerana adanya tiram di lautan
Secangkir madu di meja makan
kerana adanya lebah di hutan
Aliran air di sungai
kerana adanya hujan di pergunungan.
Mengapa tidak?
Adanya alam yang terbatas
dan saling bergantungan
menjadi tanda adanya Tuhan.
Jika mereka masih berkata;
”Tuhan itu tiada
kerana aku tidak pernah melihatNya.”
Sampaikan khabar gembira buat mereka
bahawa dinding pemisah
antara mereka dan Tuhan
penghijab pandangan
hanya senipis kain kafan.
FM
Penggaram
2 April 2009
0 comments:
Post a Comment